Rabu, 25 Februari 2009

Kafir mengkafir dan Politik

Sejak dahulu lagi isu kafir mengkafir atau قضية التكفير selalu dijadikan suatu topik politik untuk menghentam atau menyalahkan saf kebangkitan umat Islam. Banyak kumpulan Islami yang teraniaya kerananya. Samada fitnah dari golongan musuh yang sengaja menimbulkan kebencian umum terhadap saf dakwah atau fitnah itu datang dari kegelojohan segelintir yang berada dalam saf dakwah yang menghidupkan isu ini tanpa bimbingan ilmu.

Sebenarnya persoalan kafir mengkafir atau takfir adalah persoalan `aqidah yang cuba diheret ke gelanggang politik oleh golongan yang berkepentingan. Sebahagian pihak cuba menjadikannya sebagai umpan politik bagi menarik perhatian ramai agar bangkit menentang para pencinta syariat Allah. Sementara dalam masa yang sama terdapatnya di kalangan saf dakwah mereka yang tergesa-gesa dan mempermudah-mudahkan dalam mengkafirkan orang lain sehingga melanggari batasan ilmu dan akhirnya menjadi senjata musuh yang menikam para pendakwah.

Batas-Batas Iman
Adalah perlu dijelaskan bahawa di sana adanya batasan-batasan antara iman dan kufur yang sesiapa melanggar akan mengeluarkannya dari daerah iman kepada daerah kufur. Persoalan ini adalah besar di dalam `aqidah untuk difahami agar seseorang muslim mengetahui bagaimana cara dia dapat mengelakkan diri dari menjadi kafir. Oleh kerana itu, As-Syeikh `Abd al-`Aziz `Abdillah Bin Baz r.h. dalam risalahnya kepada jamaah haji (Dalil al-Haaj wa al-Mu’tamirدليل الحاج والمعتمر/) , menyenaraikan perkara-perkara yang disebut sebagai نواقض الإسلام (Perkara-perkara yang membatalkan Islam). Tujuannya agar umat Islam yang menunaikan ibadat terutamanya haji tidak melakukan perkara-perkara berkenaan yang menyebabkan terbatalnya keislamannya dan akhirnya apa sahaja ibadat yang dilakukannya tidak memberi manfaat di akhirat.

Antara sepuluh perkara yang disebut oleh as-Syeikh Ibn Baz yang ke-empatnya ialah: “Sesiapa yang beriktikad bahawa petunjuk selain dari Nabi s.a.w. lebih sempurna dari petunjuk baginda atau hukum selain dari hukum Nabi lebih baik dari hukuman baginda seperti golongan yang mengutamakan hukum taghut melebihi hukum Nabi, maka di adalah kafir, termasuk dalam perkara ini:
1. Beriktikad bahawa peraturan atau undang-undang yang dibuat oleh manusia lebih baik dari syariat Islam.
2. Atau beriktikad bahawa peraturan Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan di kurun ke-20.
3. Atau beriktikad bahawa Islam adalah penyebab kepada kemunduran muslimin.
4. Atau beriktikad bahawa Islam itu hanya terbatas antara hubungan seseorang dengan tuhannya sahaja tanpa ada kaitan dalam urusan kehidupan yang lain.
5. Menyatakan bahawa melaksanakan hukum Allah mengenai memotong tangan pencuri atau merejam penzina yang muhsan tidak sesuatu dengan zaman ini.
6. Beriktikad harusnya berhukum dengan selain dari apa yang diturunkan Allah dalam mu`amalat syarak atau hudud atau selain keduanya, sekalipun tidak beriktikad ianya lebih baik dari hukum syari`at. Ini kerana dia telah mengharuskan apa yang diharam oleh Allah secara `ijma’. Sesiapa yang mengharuskan apa yang diharamkan Allah dalam perkara yang diketahui secara umum dalam agama seperti zina, arak, riba dan berhukum dengan selain syariat Allah maka dia kafir dengan ijma’ muslimin.” (rujukan: m.s.10-11, ctk. Riasah al-`Am li Idarat al-Buhuth al-Ilmiyyah, Saudi)

Ternyata persoalan peringatan terhadap meninggalkan syariat Allah bukanlah isu politik murahan tetapi adalah isu yang mesti diberi perhatian oleh setiap individu muslim di kurun ini. Ibn Baz r.h. adalah seorang yang semasa hayatnya terbebas dari politik kepartian. Beliau adalah mufti yang `alim dan disegani. Beliau mengeluarkan kenyataan ini, bebas dari cengkaman kefahaman kepartian man-mana pihak, sebaliknya hanya menjelaskan apa yang dinyatakan oleh ajaran Islam ini.

Berdasarkan ini maka persoalan takfir ini mestilah dibincang secara rasional dan bebas dari pengaruh semasa. Ianya adalah persoalan ilmu dan aqidah yang ada disiplin-disiplinnya yang digariskan dalam manhajnya.

Menjunjung Syari`at Allah
Sejak zaman penurunan wahyu lagi, masyarakat Islam dan umat keseluruhannya dididik oleh Al-Quran agar senantiasa menganggap hanya Allah dan Rasul sahaja sumber rujukan di dalam hukum-hakam kehidupan. Sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran akan mendapati bahawa Al-Quran begitu tegas dalam memastikan keimanan dan keyakinan individu mukmin terhadap inti kandungan perlembagaan Al-Quran dan As-Sunnah. Iman yang difahami oleh mereka ialah kepercayaan yang mutlak terhadap segala titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w. Ayat-ayat yang turun ketika itu mendidik mereka juga kita agar jangan sama sekali berpaling daripada wahyu dan sabdaan Nabi s.a.w.

Antaranya cuba lihat firman Allah di dalam Surah an-Nisa' ayat 60-61:
Maksudnya:
                                              
"Tidakkah kamu perhatikan mereka yang mengakui beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelum daripadamu. Mereka ingin berhakimkan taghut sedangkan meraka disuruh agar mengingkari taghut dan syaitan bermaksud untuk menyesatkan meraka dengan kesesatan yang jauh. (60) Apabila dikatakan kepada mereka marilah (tunduk) kepada hukum yang diturunkan Allah dan kepada hukum Rasul, kamu akan melihat golongan munafiq menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya (dari mendekati kamu). (61)

Kata al-Hafizd Ibn Kathir dalam mengulas ayat ini: "Inilah bantahan daripada Allah Azza wa Jalla terhadap sesiapa yang mengaku beriman dengan apa yang Allah turunkan kepada RasunNya dan para ambiya' yang terdahulu sedangkan pada masa yang sama dia mahu berhakimkan selain dari kitab Allah dan sunnah RasuiNya dalam penyelesaian perbalahan. Ini seperti yang disebut bahawa sebab nuzl ayat ini ialah pada seorang lelaki Ansar dan seorang Yahudi yang berbalahan. Yahudi itu menyatakan "Penyelesaian antara aku dan kamu ialah Muhammad". Sedang lelaki Ansar ini menyatakan "Penyelesai antara aku dan kamu ialah Ka`ab bin al-Asyraf. Dikatakan juga ayat ini diturunkan ke atas golongan munafiqin yang memperlihatkan Islam mereka sedangkan mereka ingin berhukumkan hukuman jahiliyyah. Dikatakan juga sebab nuzulnya adalah selain yang disebutkan. Sebenarnya, ayat ini lebih umum dari semua itu. Ianya adalah cercaan terhadap sesiapa sahaja yang berpaling dari al-Kitab dan as-Sunnah lalu berhukum dengan dari keduanya yang merupakan (hukum) yang batil yang dimaksudkan dengan taghut di sini. (rujukan: Tafsir al-Quran al-`Azim, jilid 1, m.s. 531, certakan Dar al-Fikr, Beirut)

Sesiapa sahaja yang berpaling dari syariat dengan memilih peraturan dan perundangan selain daripadanya bererti berhukum kepada taghut. Samada taghut dari timur atau barat. Samada berkulit gelap atau cerah, berketurunan arab, melayu atau selainnya..taghut tetap taghut. Kata as-Syeikh Muhmmad bin `Abd al-Wahhab: "Taghut itu banyak, tetapi kepala utamanya lima iaitu; Iblis yang dilaknati Allah, sesiapa yang disembah dan dia pula redha, sesiapa yang mengajak manusia kepada menyembah dirinya, sesiapa yang yang mendakwa dia mengetahui perkara ghaib dan sesiapa yang tidak berhukum kepada apa yang diturunkan Allah" (rujukan: Hasyiah Al-Usul ath-Thalathah, m.s. 95, ctk. Idarah al-Buhuth, Saudi.)

Berdalilkan ayat-ayat dan nas-nas hadith yang banyak maka para `ulama `aqidah termasuk Ibn Abi al-`Izz menyebut dalam Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah (شرح العقيدة الطحاوية):
( فإنه إن اعتقد أن الحكم بما أنزل الله غير واجب وأنه مخير فيه ، أو استهان به مع تيقنه أنه حكم الله فهذا كفر اكبر و إن اعتقد وجوب الحكم بما أنزل الله وعلمه في هذه الواقعة وعدل عنه مع اعترافه بأنه مستحق للعقوبة فهذا عاصٍ ويسمى كافرا كفرا مجازيا أو كفرا أصغر ,ان جهل حكم الله فيها مع بذل جهده واستفراغ وسعه في مغرفة الحكم وأخطأه فهذا مخطىء، له أجر على اجتهاده وخطؤه مغفور )
Maksudnya: "Sekiranya seseorang pemerintah beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang diturunkan Allah itu tidak wajib dan dia diberikan pilihan mengenai (samada ingin berhukum dengan syariat Allah atau tidak) atau dia merendahkan-rendahkannya sedangkan dia yakin bahawa itu adalah hukum Allah, maka ini adalah kufur yang terbesar. Sekiranya dia beriktikad wajibnya berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan dia mengetahui perkara tersebut tetapi dia berpaling daripadanya (hukum Allah) sedangkan dia mengakui perbuatannya itu layak menerima hukuman, maka ini (pemerintah tersebut) adalah `asi (ahli maksiat)" dinamakan kafir kufur majazi كفر مجازي(kiasan) atau kufr asghar كفر أصغر(kufur kecil yang tidak terkeluar dari agama). Sekiranya dia jahil mengenai hukum Allah dalam perkara tersebut sedangkan dia telah berusaha bersungguh-sungguh serta mencurah segala kemampuan dalam mengenali hukum (agar menepati hukum Allah) namun dia tetap tersilap maka ini adalah orang yang tersilap. Baginya pahala kesungguhan dan kesilapannya diampunkan."(rujukan: Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, m.s. 324, ctk. Al-Maktab al-Islami, Beirut.)

Membedakan Tiga Golongan

Ternyata Al-Imam Ibn Abi al-`Izz telah memberikan amaran terhadap golongan yang meninggalkan hukum Allah juga dalam masa yang sama mengingat umat Islam bahawa bukan semua mereka yang meninggalkan hukum-hakam Allah menjadi kafir. Daripada teks yang disebutkan di atas, Ibn Abi al-`Izz membahagikan golongan yang meninggalkan perlaksaaan hukum-hukam Allah kepada tiga golongan iaitu:

Pertama: Kufr Akhbar.

Sesiapa yang beriktikad berhukum dangan apa yang diturunkan Allah tidak wajib, ataupun beriktikad bahawa dia mempunyai pilihan samada hendak berhukum dengan hukum Allah atau memilih hukum selainnya, ataupun merendah-rendah kebaikan dan kemampuan hukum-hakam Allah atau menghinanya. Ketika dia beriktikad atau melakukan perkara-perkara tersebut dia sedar bahawa hukum-hukum tersebut adalah hukum-hakam daripada Allah maka dia menjadi kafir yang terkeluar dari agama atau kufr akbar. Sekiranya dia tidak mengetahui hukum-hukum tersebut daripada Allah seperti dia begitu jahil al-Quran atau jahil as-Sunnah maka dia tidak termasuk dalam golongan yang kafir sehingga dia diberitahu bahawa hukum-hakam tersebut daripada Allah atau RasulNya. Sekiranya dia beterusan dengan sikapnya sedangkan penjelasan terang lagi nyata kepadanya maka dia kafir yang terkeluar dari agama.

Oleh itu golongan pemerintah juga tidak boleh menganggap enteng soal `akidah, ucapan dan tidak laku mereka dalam soal perlaksanaan syariat Islam. Perkara meremeh dan memandang rendah hukum-hakam syarak adalah tersangat bahaya. As-Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahhab menyebut antara perkara yang membatalkan syahadah ialah:
(من اعتقد أن هدي غير النبي صلى الله عليه وسلم أكمل من هديه أو أن حكم غيره أحسن من من حكمه كالذين يفضلون حكم الطواغيت على حكمه فهو كافر)
Maksudnya: Sesiapa yang beriktikad bahawa petunjuk selain Nabi s.a.w. lebih sempurna daripada petunjuk baginda atau selain hukum selain hukum baginda lebih baik daripada hukum baginda seperti golongan yang mengutamakan hukum taghut melebihi hukum baginda maka dia adalah kafir".

Bahkan seperti kata Ibn Abi al-`Izz tadi, bahawa menganggap dirinya diberi pilihan samada menerima pakai atau menyampingkan hukum hakam Allah juga boleh membawa kepada kufr akbar كفر أكبر(kufr yang mengeluarkan seseorang dari agama). Di dalam Taisir Zi Jalal wa Ikram,تيسير ذي الجلال ولأكرام ketika memetik perkataan As-Syeikh Muhammad bin Ibrahim, iaitu: "Sekiranya seseorang pemerintah tidak menganggap hukuman selain dari hukum Allah lebih baik dari hukum Allah dan RasulNya tetapi dianggap ianya sama, ini adalah kufur yang mengeluarkannya dari agama kerana pada demikian itu menyamakan makhluk dengan Yang Maha Pencipta (Allah) (rujukan :Taisir Zi Jalal wa Ikram, Sa`ad bin Muhammad al-Qahtani, m.s. 61, ctk. Dar Isbelia, Saudi.)

Kedua: Kufr Asghar كفر أصغر
Sesiapa yang meninggalkan berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah namun dia tetap mengiktiraf kewajipannya untuk menerima pakai syariat Allah dan dia mengakui bahawa meninggalkan berhukum dengan syariat Allah adalah suatu kesalahan dan dosa. Dia meninggalkan berhukum dengan syariat mungkin disebabkan hawa nafsu atau kepentingan dunia yang dikejar seperti menjaga pangkat atau harta benda maka dia dianggap oleh para ulama `aqidah sebagai kafr asghar atau kufur kecil yang tidak mengeluarkannya dari daerah Islam sebaliknya adalah ahli maksiat dan penderhaka.

Ketiga: Tersalah Hukuman
Sesiapa yang telah berhukum dalam sesuatu perkara tidak berdasar hukum Allah disebab kejahilan yang tidak disengajakan. Ini seperti seseorang yang tidak tahu tentang hukum Allah dalam sesuatu perkara lalu dia berhukum tidak berdasarkan syariat Allah sedang dia senantiasa berusaha dan cuba memastikan agar hukuman yang dilaksanakannya menepati syariat. Disebabkan maklumat yang tidak cukup atau pengetahuan yang tidak sampai kepadanya walaupun dia telah berusaha untuk mengetahui hukum Allah mengenai perkara berkenaan maka hukuman yang dilaksanakannya tanpa disengajakan menyalahi syariat. Padahal, sekiranya dia tahu hukuman yang sebenar berdasarkan syariat tentu dia akan melaksanankannya. Kedudukan orang seperti seorang mujtahid yang tersalah ijtihad. Kesungguhan dan usaha untuk mengetahui hukuman yang sebenar diberikan apahala oleh Allah sementara kesalahan diampunkan kerana dia tidak sengaja dan telah berusaha.

Mempelajari Perundangan Bukan Islami
Perkara ini juga patut diberikan peringatan kepada para penuntut atau pelajar perundangan barat agar tujuan mereka dalam mempelajari perundangan barat atau perundangan yang tidak Islami itu tidak menyanggahi `aqidah. Sekiranya tujuan mereka mempelajarinya semata-mata sebagai suatu pengetahuan atau kerana ingin hendak dijadikan senjata dalam mempertahankan Islam maka ini ditidak menyanggahi syarak bahkan dia memperolehi pahala sekirannya tujuannya untuk mempertahankan Islam. Namun sekirannya mereka mempelajarinya untuk mengagungkannya atau menyanggap inilah perundangan yang terbaik atau setaraf dengan perundangan Islam atau diharuskan menerima sekalipun tidak menganggap lebih baik dari apa yang diturunkan Allah, maka ini sangat merbahaya kepada `aqidah mereka. Kata `Abd al-`Aziz `Abdillah bin al-Baz: "Sesiapa yang memepelajari undang-undang yang tidak Islam atau mengajarnya dalam keadaan dia menghalalkan berhukum dengannya, samada dia beriktikad syariat Islam lebih baik atau tidak, maka golongan ini adalah dengan ijma' muslimin kafir kufr akhbar. Ini kerana dia menghalakan berhukum dengan perundangan ciptaan manusia yang menyanggahi syariat Allah, dengan itu bereti dia menghalakan apa yang diketahui secara umum dalam agama sebagai haram. Ini sama dengan hukum sesiapa yang menghalakan zina, arak dan seumpamnya.(rujukan: Al-Takfir wa Hukm bi ghair ma Anzal Allah, m.s. 60, Ctk. Dar al-Ibn Khuzaimah, Saudi.)

Membezakan antara jenis dan peribadi
Ini adalah tajuk yang sangat penting akan tidak ada lagi golongan yang mudah tersasul dan melatah tanpa panduan ilmu. Para pendokong kebangkitan Islam hendaklah benar-benar tepat dalam meletakkan status terhadap golongan yang tidak melaksanakan syariat Islam. Ini agar kita tidak menjadi khawarijخوارج yang mudah mengkafir sesiapa sahaja di kalangan ahli maksiat dan tidak juga kita menjadi murjiah مرجئةyang membiarkan sesiapa sahaja melakukan maksiat.

Hendaklah diingat, bahawa adalah menjadi manhaj ahli as-Sunnah wa al-Jamaah, bahawa membezakan antara jenis dan peribadi.Walaupun disebut tentang pegangan, atau perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada kufur, namun apabila tiba kepada persoalan mengkafir seseorang hendak dilihat dengan lebih teliti. Walaupun Ahli as-Sunnah menyatakan kufur pada perbuatan, perkataan atau iktikad tertentu namun ahli sunnah tidak terus menghukum pelakunya kafir. Ini kerana seseorang yang melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kufur boleh jadi dalam keadaan jahil, atau disalah fahami maksudnya atau tidak sengaja atau tersasul. Tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan benar-benar jelas dan tidak boleh ditafsirkan si pelakunya melainkan kufir. As-Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dengan katanya: “Suatu perkara yang mesti diberi perhatian iaitu apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan “Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang menolak hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukum pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya. Perkara ini pernah disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan penyucapnya. Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir”. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang menjadi kuffur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas-pen),” (rujukan:Zahirah al-Ghuluu fi Takfir, m.s. 26-27, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir.

Al-Imam Hasan Al-Banna juga menjelaskan perkara ini dengan katanya: Kita tidak mengkafirkan seseorang muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan beramal dengan tuntutannya, hanya disebabkan pandangan peribadi atau sesuatu maksiat (yang dilakukan), kecuali dia mengakui kalimah kufur, atau menginkari perkara yang maklum di dalam agama ataupun mendustai sesuatu yang jelas dari al-Quran atau menafsirkan al-Quran dalam bentuk yang tidak dapat diterima pada uslub bahasa `arab sama sekali ataupun melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh ditafsirkan melainkan kufur” (rujukan: Majmu’ ar-Rasail, Hasan al-Banna, m.s. 393, ctk. Dar ad-Da’wah, Mesir )

Golongan Islam yang berjuang di atas landasan `aqidah yang diajar oleh Ahl a-Sunnah hendak tidak tergopoh-gapah dalam mengkafirkan individu tertentu tanpa melalui kaedah yang telah ditentukan oleh manhaj yang benar ini. Bukan senang dan mudah untuk dikafirkan seseorang melainkan setelah begitu jelas kufurnya dan tidak boleh dibuat sebarang andaian lagi melainkan kafir.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar